Amanah Labuan lumpuh, pimpinan keluar parti

107

9 JULAI: Seluruh jentera Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Labuan kini dikatakan lumpuh selepas ramai ahlinya bertindak meletakkan jawatan serta-merta kerana tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan pusat.

Peletakan jawatan secara mengejut itu turut membabitkan sayap Wanita, Pemuda dan 33 pemimpin cawangan bersama-sama ahli jawatankuasa mereka, yang membawa kepada pembubaran Amanah Kawasan Labuan.

Amanah melebarkan sayapnya di Labuan pada 2018 dan mengadakan pemilihan pertama pada Februari 2019.

Bekas Ketua Bahagian Amanah Labuan, Chemat Mustapha,berkata, peletakan jawatan itu disebabkan pemimpin parti pusat kurang memberi tumpuan pada Amanah Kawasan Labuan.

“Kami telah hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan Amanah dalam mengendalikan isu-isu dalaman parti dan juga disebabkan perebutan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika ini berhubung jawatan perdana menteri, kami sudah tidak yakin dengan masa depan Amanah dan perjuangannya untuk membela rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mereka juga kecewa dengan kegagalan pimpinan Amanah menyelesaikan masalah pendaftaran parti itu di Labuan yang tertangguh sejak tahun lalu.

Pada masa sama katanya, mereka juga kesal apabila pimpinan Amanah Kawasan Labuan tidak banyak mendapat tempat dalam pentadbiran Kementerian Wilayah Persekutuan ketika erah PH.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.