11 individu ditahan ingkar arahan PKPP

45

9 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan dan mengeluarkan kompaun kepada 11 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyatakan, PDRM telah berjaya menahan 10 warga asing kerana kesalahan imigresen dalam Operasi Benteng di seluruh negara semalam.

Berhubung kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, seramai 630 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Singapura, Indonesia, India, Nepal, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Hong Kong, Ethiopia, Brunei dan Timor Leste.

“Daripada jumlah itu, 624 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala enam individu dibawa ke hospital,” jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 58 tapak binaan di seluruh Malaysia semalam yang melibatkan 98 penguat kuasa.

“Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB telah mendapati 46 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan, 6 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi nasihat manakala 6 tapak binaan tidak beroperasi.

“Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,896 tapak binaan manakala 521 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran,” ujarnya.

Menurut Ismail Sabri, penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP.

Beliau menambah, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEHP) juga telah melakukan 1,795 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,772 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 23 lagi premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.