Trump bawa AS keluar WHO ketika 60,000 kes dicatat sehari

32

8 JULAI: Ketika Amerika Syarikat (AS) merekodkan kes positif COVID-19 melebihi angka 60,000 orang dalam tempoh 24 jam semalam, Presidennya, Donald Trump pula mengambil langkah aneh apabila memulakan penarikan diri negara itu daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Malah, pentadbiran Trump juga mengancam menghentikan bantuan terhadap pertubuhan yang mengetuai usaha global memerangi COVID-19 – satu keputusan yang dilihat sebagai satu tindakan balas ke atas WHO.

Berdasarkan data terbaharu Universiti Johns Hopkins, AS kini menghampiri tiga juta kes jangkitan dengan rekod semasa adalah 2.99 juta kes manakala kematian pula dilaporkan melebihi 131,000 orang.

Keputusan Trump itu menimbulkan kemarahan penyokong kesihatan awam dan penentang politiknya.

AS sebelum ini mengancam menangguhkan dana tahunan berjumlah AS$400 juta (RM1.71 bilion) dan kini pentadbiran Trump secara rasmi mengumumkan penarikan diri menerusi notis dihantar kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, kata jurucakap Jabatan Negara.

Penarikan AS daripada WHO berkuat kuasa dalam tempoh setahun iaitu hingga 6 Julai 2021 dan pencabar rapat Trump, Joe Biden, dikatakan bakal menghentikan tindakan itu, sekali gus mengekalkan penyertaan negara itu dalam WHO jika beliau memenangi pilihan raya November ini.

Memetik laporan agensi berita, jurucakap Guterres dan PBB mengesahkan bahawa AS, negara anggota pengasas utama WHO sudah memberikan notis berhubung penarikan itu.

Dalam ucapan sebelum ini, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan perpaduan nasional dan solidariti global lebih penting bagi menangani COVID-19 secara bersama.

Sejajar dengan syarat ditetapkan ketika WHO ditubuhkan pada 1948, AS boleh mengundurkan diri dalam tempoh setahun namun perlu memenuhi kewajipan kewangan yang masih ada, kata jurucakap PBB.

Pada akhir Mei lalu, Trump mengatakan China melakukan ‘sepenuh kawalan’ terhadap WHO dan menuduh badan PBB yang diketuai oleh Tedros, seorang doktor dan diplomat Ethiopia, gagal melaksanakan reformasi.

Terus menyalahkan China atas penularan COVID-19, Trump sering mengkritik PBB, mengatakan AS akan mengalihkan dananya itu bagi keperluan kesihatan awam global yang lain di seluruh dunia dengan cepatnya.

Sementara itu, penggubal undang-undang demokratik menuduh Trump berusaha untuk menangkis kritikan dari menangani wabak di AS yang mencatatkan kematian tertinggi berbanding negara lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.