Tiada perarakan Hari Kebangsaan 2020

114

8 JULAI: Tiada perarakan Hari Kebangsaan untuk tahun ini kerana majlis seumpamanya akan melibatkan satu jumlah kehadiran besar yang menyebabkan kesukaran untuk prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dipatuhi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini tiada kebenaran untuk perarakan tetapi sambutan Hari Kebangsaan bukan hanya mengenai perbarisan pada 31 Ogos, sebaliknya mempunyai pelbagai acara lain.

Katanya, sebagai contoh pelancaran Bulan Kebangsaan dan kempen mengibar Jalur Gemilang.

“Perkara ini akan diperincikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan apa program yang boleh akan diteliti serta diumumkan nanti berserta SOP berkaitan bagi setiap acara.

“Cumanya untuk perhimpunan besar, itu masih tiada sebab kita jaga SOP dan penjarakan sosial,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mengingatkan rakyat bagaimana kealpaan kepada pematuhan SOP akan menyebabkan kebebasan yang dinikmati hari ini akan kembali ditarik seperti mana berlaku di Australia.

Katanya, kawalan pergerakan kini kembali dikenakan ke atas penduduk Melbourne setelah peningkatan kes COVID-19 dan hal seperti ini perlu dijadikan iktibar dengan memastikan tahap disiplin yang tinggi.

“Kita berjaya kawal, tapi tak bermakna kita boleh leka.

“Yang mampu pastikan kita terus bebas dan semakin bebas adalah diri kita, jadi amalkan kawalan kendiri untuk kekal selamat,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, operasi khas polis semalam menyaksikan lapan orang dikompaun kerana melakukan aktiviti sukan sentuh seperti bola sepak dan futsal.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan itu, empat lagi dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi SOP.

Bagi Ops Benteng pula, katanya, seramai 1,391 PATI dan 235 tekong telah ditahan kerana cuba mencerobohi
sempadan negara secara haram terutama lorong-lorong tikus.

Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk PATI,” tegasnya. -M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.