Syarikat penerbangan diseru tawar diskaun seperti Malaysia Airlines

50

8 JULAI: Diskaun 20 peratus ditawarkan Malaysia Airlines khusus kepada pelajar, guru dan pensyarah bagi penerbangan domestik bermula 10 Julai ini.

Ia berikutan terdapat keperluan untuk golongan tersebut melakukan perjalanan udara khususnya dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya memandangkan sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) akan dibuka tidak lama lagi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, diskaun ini susulan arahan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) supaya meneliti harga tiket dengan syarikat penerbangan terutama untuk perjalanan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak serta sebaliknya.

Hasilnya kata beliau, Malaysia Airlines bersetuju menawarkan diskaun khas ini yang akan berlangsung dari 10 Julai sehingga November ini dengan pembelian tiket boleh dilakukan secara dalam talian menerusi kod promo bagi pensyarah serta guru dan MH Explorer untuk pelajar.

“Saya berterima kasih kepada pengurusan Malaysia Airlines di atas persetujuan menawarkan harga diskaun ini dan saya mengharapkan syarikat penerbangan lain dapat turut serta menurunkan harga tiket penerbangan kepada pelajar, guru dan pensyarah,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, ujian saringan secara rambang mungkin akan dilakukan di lapangan terbang ke atas penumpang.

“Bukan lagi setiap individu disaring atau dikuarantin di rumah secara wajib macam dulu. Cuma ada pun nanti, seorang dua penumpang akan diminta buat ujian secara rambang.

“Keseluruhannya, rentas negeri di seluruh Malaysia bebas, tidak ada saringan tidak ada kuarantin,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.