Sultan Perak perkenaan solat Jumaat di surau

52

8 JULAI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini memperkenankan untuk membenarkan solat Jumaat dilaksana di semua surau berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), mulai Jumaat ini susulan dari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pegawai Eksekitif MAIPk, Shahrul Azam Shaari, berkata baginda bertitah selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, dengan merujuk prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Shahrul Azam, berkata kebenaran itu turut merangkumi surau di institusi pendidikan, kem tentera, berek polis, jabatan, serta pejabat kerajaan yang mempunyai ruang keluasan solat yang sesuai serta berupaya memenuhi SOP ditetapkan.

“Bilangan jemaah solat Jumaat di surau berkenaan adalah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira SOP yang menetapkan penjarakan sosial satu meter di antara jemaah.

“Bagaimanapun kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dengan identiti jemaah yang hadir hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan memasuki ruang solat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, amalan tambahan yang beriringan dengan solat fardu seperti solat sunat Qabliah dan Ba’diah, wirid sesudah solat dan kuliah antara waktu solat Maghrib dan Isyak, serta kuliah selepas solat Subuh turut boleh dilaksana, namun dalam tempoh tidak melebihi 30 minit, berpandukan pematuhan garis panduan dan SOP yang ditetapkan.

“Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan syarat dan kriteria berserta garis panduan yang perlu dipenuhi oleh sesebuah surau untuk menganjurkan solat Jumaat, selain akan mengeluarkan senarai surau yang memenuhi kriteria untuk melaksanakan solat Jumaat semasa tempoh PKPP.

“Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga terdapat sebarang arahan baharu yang dikeluarkan daripada MAIPk,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.