Setiausaha politik Mat Sabu ditahan SPRM

173

8 JULAI: Parti Amanah Negara (PAN) mengesahkan setiausaha politik Presidennya, Mohd Azhar Che Mat Dali ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan atas tuduhan rasuah.

Setiausaha Agung Amanah, Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, setiausaha politik Mohamad Sabu itu ditahan SPRM petang semalam.

Menurutnya, berikutan itu, Wisma Amanah Negara yang merupakan ibu pejabat PAN turut digeledah SPRM awal pagi ini.

“PAN menuntut agar SPRM bersikap profesional dalam menjalankan tugas siasatan dengan mengikut lunas-lunas perundangan dan prosedur yang teratur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengah hari ini, media online melaporkan seorang Setiausaha Politik kepada bekas menteri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan bagi projek selenggaraan sistem keselamatan negara yang dianggarkan bernilai lebih RM56 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap lelaki itu bermula hari ini sehingga 13 Julai ini, selepas mendengar permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati suspek dikatakan telah menerima wang rasuah bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan projek sistem tersebut secara rundingan terus dengan sebuah kementerian pada sekitar Ogos 2019.

Sumber memberitahu, bekas Setiausaha Politik yang berusia 49 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 8 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.

SPRM turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 serta dokumen berkaitan projek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.