Patutnya Al Jazeera buat dokumentari kejayaan Malaysia

54

8 JULAI: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) kesal terhadap dokumentari agensi berita, Al-Jazeera yang memaparkan fakta salah dalam memberi gambaran negatif terhadap kerajaan Malaysia sebagai anti pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga bersikap tidak berperikemanusiaan.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, sedangkan pelbagai pihak telah memuji cara Malaysia menguruskan pandemik Covid 19 sebagai yang terbaik di dunia namun tidak pula mendapat pengiktirafan media antarabangsa yang berpangkalan di Qatar itu.

“Sepatutnya ini yang didokumentarikan kerana Malaysia telah menyumbang satu contoh penyelesaian yang bijak dan boleh dicontohi oleh negara lain tapi bukan sebaliknya.

“Nampaknya Al-Jazeera telah memaparkan sisi ‘buta’ dalam memaparkan beritanya kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari yang membuat tuduhan melulu kononnya berlaku diskriminasi dan isu perkauman terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Laporan Al-Jazeera menerusi video berdurasi 25 minit 50 saat itu bertajuk “Locked Up in Malaysia’S Lock down” yang mula disiarkan kepada umum, sejak Ahad lalu.

Dalam pada itu, Mohd Zai memberitahu Al-Jazeera seolah-olah mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara menyimpan PATI tanpa dokumen yang sah.

“Adakah ini satu promosi bahawa Malaysia adalah sebuah negara tempat orang buangan tanpa dokumen? Agenda Al-Jazeera sangat kolot.

“Semua negara mempunyai undang-undang masuk ke sesebuah negara termasuk Malaysia. Dokumen masuk dan tinggal di negara ini mestilah sah di sisi perundangan negara dan antarabangsa.

“Bagi yang tiada dokumen perjalanan ia dianggap melanggar undang-undang sebagai PATI dan melanggar undang-undang di negara ini dan juga semua negara di dunia,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.