Jangan cepat melatah persoal SPRM

98

8 JULAI: Ahli politik diingatkan tidak cepat melatah sehingga pantas menyalahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada dalam kalangan mereka ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ahli politik kena faham bahawa SPRM tidak menahan orang sesuka hati sebaliknya sebaliknya perlu menjalankan tugas dengan profesional.

“MCW yakin bahawa pegawai pegawai SPRM menjalankan tugas mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Tindakan Parti Amanah Negara (PAN) mengeluarkan kenyataan media seperti ini boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat ada satu gangguan terhadap siasatan yang sedang berjalan.

“Pemimpin PAN perlu bertenang dan membantu siasatan tersebut. Rasuah memang tidak mengenal parti dan semakin membarah di negara ini,” katanya ketika diminta mengulas tindakan PAN yang menyifatkan penahanan seorang pegawai bekas menteri oleh SPRM sebagai tidak profesional.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAN, Dr Hatta Md Ramli mengesahkan penahanan Setiausaha Politik Presiden parti itu oleh SPRM untuk siasatan atas tuduhan rasuah pada petang semalam.

Dr Hatta juga mengesahkan SPRM telah melakukan operasi penggeledahan di ibu pejabat parti di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur pada awal pagi tadi.

Berikutan itu PAN menuntut agar SPRM bersikap profesional dalam menjalankan siasatan dengan mengikut lunas-lunas perundangan dan prosedur dengan teratur.

Dalam kenyataan itu, Mohd. Hatta juga mempersoalkan beberapa tindakan SPRM yang antaranya keperluan menahan reman setiausaha politik kepada Mohamad Sabu itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.