COVID-19: Kluster Perhimpunan Seri Petaling tamat hari ini

189

8 JULAI: Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa kluster COVID-19 terbesar di Malaysia, iaitu Kluster Perhimpunan Seri Petaling berakhir hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai kejayaan bersama bagi Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain yang telah bekerjasama melalui tindakan bersepadu dalam segala pendekatan bagi mengawal dan membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam kluster tersebut.

“Pihak media juga telah memainkan peranan besar dalam menyebarkan maklumat dan komunikasi risiko berkaitan kluster ini ke seluruh negara,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Masjid Seri Petaling atas sokongan padu dan bantuan rapat yang telah mereka berikan.

“Kerjasama yang diberikan oleh semua ahli jemaah telah banyak membantu dalam tindakan mengesan, membendung dan merawat kes-kes COVID-19.

“Kementerian Kesihatan mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, atas sumbangan dan perkhidmatan yang komited dalam pencapaian ini,” jelasnya.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster itu dikesan sejak empat bulan lalu susulan satu perhimpunan keagamaan yang telah diadakan di sebuah masjid di Seri Petaling, Kuala Lumpur.

Jelas beliau, perhimpunan tersebut telah berlangsung selama empat hari iaitu dari 27 Februari sehingga 3 Mac 2020 dan telah dihadiri seramai 16,000 orang iaitu 14,500 warganegara Malaysia dan 1,500 bukan warganegara dari pelbagai negara lain.

“Kes positif COVID-19 pertama kluster ini dilaporkan di dalam negara pada 11 Mac 2020 iaitu seminggu selepas perhimpunan berakhir, iaitu kes ke-131 dan kes ke-136.

“Mereka adalah warganegara Malaysia dari negeri Pahang dan Negeri Sembilan yang telah hadir perhimpunan tersebut,” katanya.

Dr Noor Hisham menambah, kluster berkenaan besar kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran melalui kontak rapat kes yang positif.

Beliau menyatakan, penularan jangkitan COVID-19 melalui kluster ini telah menular ke seluruh Malaysia.

“Sehingga 8 Julai 2020, sejumlah 42,023 individu telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini, 3,375 kes positif telah dilaporkan positif COVID-19 iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia.

“Kes-kes bagi kluster dan sub-kluster di bawahnya adalah dikesan di tujuh negeri, melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 buah negara,” jelasnya.

Dr Noor Hisham memberitahu, kebanyakan kes positif kluster ini adalah tidak bergejala iaitu 2,187 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif kluster ini.

Katanya, seramai 87 pesakit telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, sebanyak 29 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

“Seramai 3,341 individu telah sembuh, justeru ini menjadikan kadar pesakit yang telah sembuh 98.9 peratus. Tiada lagi kes aktif dalam kluster ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, 34 kematian telah dilaporkan dalam kluster tersebut iaitu 28.1 peratus daripada kes kematian COVID-19 di Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian tersebut terdiri daripada 31 warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

“Jumlah tersebut melibatkan 30 orang lelaki dan empat orang perempuan,” katanya.

Beliau menambah, sejak dari awal pengesanan kluster itu, kerajaan telah menjalankan pendekatan tertumpu secara agresif dan meluas melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kumpulan sasar dalam kluster tersebut iaitu, peserta dan kontak rapat perhimpunan di Seri Petaling dan pelajar serta kakitangan pusat tahfiz dan madrasah di seluruh Malaysia.

Jelasnya, hasil siasatan dan aktiviti pendekatan tertumpu, Kementerian Kesihata telah mengesan sebanyak 17 subkluster dalam kluster ini.

“Implementasi kawalan sempadan antarabangsa juga dapat memastikan tidak berlaku lagi penularan jangkitan COVID-19 yang berpunca dari luar negara,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.