2 hari berturut ‘0’ kes COVID-19 jangkitan tempatan

213

8 JULAI: Gambar telur yang dipaparkan semasa siaran langsung sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebook Kementerian Kesihatan hari ini mencuit perhatian para netizen.

Ramai yang tertanya-tanya tentang kaitan gambar telur tersebut dengan sidang media berkenaan.

Sebenarnya, telur itu merupakan simbolik bagi sifar kes jangkitan COVID-19 tempatan selama dua hari berturut-turut sejak semalam.

Menurut Dr. Noor Hisham, setakat pukul 12 tengah hari tadi, tiada kes penularan dalam negara yang dilaporkan.

“Ketiga-tiga kes baharu yang dilaporkan adalah kes import dalam kalangan warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Satu kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.

Secara keseluruhan, beliau memberitahu, terdapat sebanyak 8,677 kes positif COVID-19 hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 70 kes di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Selain itu, beliau menyatakan, lima kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,486 kes atau 97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.