Tamparan hebat PH untuk Tun Mahathir

3,233

7 JULAI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya sedar tentang kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH) berikutan keputusan gabungan pembangkang itu membuat pusingan U dengan memilih Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Penganalisis politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai satu tamparan hebat terhadap ketokohan Dr Mahathir.

Menurut beliau, mungkin sudah tiba masanya Dr Mahathir kembali bersama Bersatu bagi meneruskan perjuangan yang terhenti di samping membantu kerajaan dalam membangunkan negara.

MUHAMAD NADZRI

“Dr Mahathir perlu melihat semula di manakah platform terbaik untuk beliau berjuang semula apakah bersama semula dengan Bersatu kerana jelas kenyataan rasmi PH itu secara tidak langsung PH tidak lagi mahukan peranan beliau dalam meneroka hala tuju mereka.

“Tidak salah jika Mahathir ingin kembali kepada parti kerana pengalamannya diperlukan dalam pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Semalam, PH mengumumkan mereka komited dengan pendirian asal mereka sebelum ini berhubung calon Perdana Menteri iaitu memilih Anwar.

Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH yang difahamkan tidak dihadiri oleh Dr Mahathir dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini turut dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Muhamad Nadzri menambah, pendirian terkini PH itu menunjukkan pembangkang bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ini merupakan satu titik tolak di mana Dr Mahathir perlu memikirkan hala tuju beliau kerana PH sudah seakan-akan menolak peranan beliau,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.