Perhimpunan Agung UMNO, 25 – 28 November

189

7 JULAI: Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur akan berlangsung selama empat hari daripada 25 November sehingga 28 November ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pada 25 November, perasmian serentak sayap-sayap Wanita, Pemuda, Puteri akan diadakan pada sebelah malam manakala Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, Puteri akan diadakan pada keesokan harinya.

“Manakala 27 dan 28 November nanti, Perhimpunan Agung UMNO akan di Dewan Merdeka, PWTC. Kehadiran juga tertakluk kepada SOP kerajaan pada tarikh-tarikh itu.

“Surat rasmi pemakluman berhubung tarikh-tarikh berkaitan akan diberi esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

AHMAD MASLAN

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Majlis Tertinggi UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan cawangan bermula pada 15 Julai sehingga 31 Ogos ini sementara di peringkat bahagian mulai 15 September hingga 31 Oktober ini.

Ahmad Maslan berkata, kali ini persidangan tahunan cawangan sedikit berbeza kerana jumlah kehadiran tidak boleh melebihi 250 orang yang perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Bagi konvensyen tahunan UMNO negeri akan diadakan pada 1 hingga 23 November namun negeri yang telah selesai awal mengadakan mesyuarat bahagian, boleh menganjurkan konvensyen lebih awal dan kehadiran mesyuarat tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

“Segala SOP yang ditetapkan oleh ROS ahli UMNO boleh semak dalam laman sesawang www.ros.gov.my untuk lebih lanjut dan memahaminya,” katanya.

Persidangan UMNO cawangan yang sebelum ini dijadualkan bermula pada Mac terpaksa ditunda berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.