PDRM panggil Al Jazeera, wartawan dalam masa terdekat

51

7 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pengendali Al Jazeera dan wartawannya dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dokumentari agensi berita asing itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan akan dilakukan menurut beberapa peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Menurut beliau, kertas siasatan telah dibuka disebabkan polis telah menerima beberapa laporan polis berhubung isu berkenaan.

“Mereka akan dipanggil untuk menjawab beberapa persoalan secara rasminya kertas siasatan telah dibuka kerana ada beberapa laporan yang kami terima.

“Akan dipanggil dalam masa terdekat, lagi cepat kita selesaikan lagi bagus. Kita akan tengok dari sudut undang-undang selepas dia menjawab soalan-soalan,” katanya seperti dipetik dari laporan MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita di sini hari ini selepas menghadiri perasmian Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan polis telah memulakan siasatan berhubung laporan itu dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang membuat tuduhan melulu kononnya berlaku diskriminasi erhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.