Op Benteng: 5 warga asing ditahan polis

64

7 JULAI: Seramai lima warga asing ditahan polis semalam dalam sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 67 sekatan jalan raya dilakukan dalam operasi tersebut.

“Pihak berkuasa memerika sebanyak 44,208 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, polis turut menahan dan mengeluarkan kompaun kepada tiga individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 1,146 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Singapura, Indonesia, Jepun, China, Qatar, Australia, Belanda, India dan United Kingdom.

“Daripada jumlah itu, 1,144 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala dua individu dibawa ke hospital,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 61 tapak binaan di seluruh Malaysia semalam dengan melibatkan 104 penguat kuasa.

“Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB telah mendapati 38 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan, 14 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi nasihat manakala 9 tapak binaan tidak beroperasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyatakan, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 844 premis perniagaan semalam termasuk peruncit (645), pemborong (167) dan pengilang (32).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi,” katanya.

Beliau menambah, pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,697 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,664 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 33 lagi premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.