Laporan Al Jazeera cetus tanggapan salah – PAS

22

7 JULAI: PAS mendesak Al Jazeera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan menarik balik laporan tidak tepat mengenai dakwaan layanan buruk diberikan pihak berkuasa Malaysia terhadap warga asing ketika operasi membasmi penularan wabak pandemik COVID-19 terutamanya di Kuala Lumpur pada 3 Julai lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Abdul Khalil Abdul Hadi berkata, sebagai sebuah portal berita yang berpengaruh di serata dunia, portal Al Jazeera dan wartawannya seharusnya bersikap adil dan tidak berat sebelah dalam melaporkan sesuatu isu terutama membabitkan kes penularan wabak pandemik COVID-19 serta operasi dilakukan ketika itu.

Menurut beliau, perbuatan tersalah lapor atau memberitakan sesuatu keadaan dengan tidak tepat boleh menimbulkan persepsi negatif dan tanggapan yang salah terhadap sesebuah negara, masyarakat mahupun keadaan sesuatu tempat dan sekelilingnya.

“Kerajaan Malaysia telah memberikan layanan yang baik kepada semua warga asing sama ada yang mempunyai dokumentasi perjalanan yang sah mahupun tidak sepanjang proses saringan mahupun pembasmian wabak pandemik COVID-19 di dalam negara.

“Namun begitu, bagi yang tidak mempunyai dokumentasi perjalanan yang sah, mereka akan diasingkan dan ditahan kerana melakukan kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah untuk tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.

“Bagi warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, mereka dilayan dengan baik, diberikan bantuan perubatan secukupnya untuk membasmi penularan wabak COVID-19 dalam kalangan mereka dalam depoh tahanan serta penahanan dan segala tindakan pihak berkuasa mematuhi garis panduan mahupun prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalil berkata, adalah tidak adil kepada kerajaan Malaysia kerana Al Jazeera menemuramah PATI atau warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk menilai tindakan kerajaan Malaysia dalam isu ini kerana hanya menilai naratif yang diberikan oleh sebelah pihak.

“Sepatutnya Al Jazeera menghubungi kerajaan Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara tersebut sebelum menerbitkan berita dalam portal mereka.

“Dengan gambaran yang jelas dari kedua–dua belah pihak baik PATI mahupun Kerajaan Malaysia, saya percaya dan yakin Al Jazeera mampu mendapat gambaran yang jelas apa yang berlaku sebenarnya.

“Sebagaimana apa yang diucapkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Al Jazeera seharusnya menghentikan paparan berita tersebut di portal berita mereka dan memohon maaf kepada Kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya.

Abdul Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk berkata, beliau dan rakyat Malaysia juga yang lain tidak mahu negara dan rakyat Malaysia diberikan gambaran yang salah kepada dunia.

“Malaysia dan rakyatnya cukup dikenali di serata dunia kerana membela nasib pelarian dan negara–negara yang ditindas seperti Palestin, Rohingya, Uighur, Syria, Yaman dan pelbagai negara lagi.

“Pelbagai bantuan dan pertolongan dihulurkan tanpa mengharapkan apa–apa balasan dan penuh keikhlasan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata apabila menguatkuasakan undang–undang untuk memelihara kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat Malaysia, kerajaan Malaysia dan rakyatnya digambarkan sebagai tidak adil dan berperikemanusiaan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.