IILM terbit semula sukuk jangka pendek AS$1 bilion

76

7 JULAI: Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (IILM) telah menerbitkan semula sukuk jangka pendek diberi penarafan A-1 bernilai AS$1.01 bilion dalam tiga siri yang meliputi tempoh sebulan, tiga bulan dan enam bulan.

Menurut IILM, harga bagi tiga terbitan itu telah ditetapkan oleh pasaran pada AS$360 juta bagi tempoh sebulan pada kadar 0.27 peratus, AS$400 juta bagi tempoh tiga bulan pada kadar 0.43 peratus serta AS$250 juta bagi tempoh enam bulan berkadar 0.55 peratus.

“Penetapan harga akhir itu adalah menepati garis panduan membabitkan tempoh terbabit, sekali gus menggambarkan minat kukuh daripada pengedar utama mahu pun pelabur akhir,” jelas IILM.

Perbadanan berkenaan menambah, tender berkenaan mendapat permintaan ketara daripada kalangan pelabur di Asia Barat, Asia dan Afrika yang membabitkan jumlah tempahan melebihi AS$1.3 bilion iaitu lebihan langganan sebanyak 1.38 kali.

IILM juga telah memasuki separuh kedua bagi terbitan tahun 2020 menerusi lelongan hari ini dan melaksanakan terbitan berkumpul berjumlah AS$5.92 bilion setakat tahun ini yang mewakili 25 peratus daripada terbitan sukuk global dalam denominasi AS$ setakat tahun ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.