DAP pecat tiga ahli di Perak

285

7 JULAI: Tiga ahli DAP dipecat kerana membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tronoh, Paul Yong Choo Kiong melompat parti sehingga meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak, sebelum ini.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, mesyuarat Jawatankuasa Disiplin DAP hari ini memutuskan untuk menguggurkan keahlian tiga individu terbabit iaitu Kong Lai Ling, Ng Sook Whye dan Khi Poh Chong.

Chieng Jen berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas jawatankuasa berkenaan menerima aduan terhadap mereka yang mengadakan bantahan balas untuk menyokong ADUN Tronoh.

“Kesemua mereka didapati aktif membantu ADUN Tronoh yang telah dipecat ojawatankuasa ini walaupun kita telah memberikan amaran kepada ahli-ahli sebelum ini supaya tidak lagi bersama dengan wakil rakyat yang telah lompat parti atau dipecat.

“Kong Lai Ling juga telah menerima jawatan sebagai Ahli Majlis Daerah Batu Gajah kerajaan PN,” katanya.

Jelasnya, Jawatankuasa Disiplin sekali lagi menegaskan bahawa DAP tidak akan bertoleransi dengan mana-mana ahli yang menerima jawatan dengan kerajaan PN, atau masih bersama-sama atau membantu ahli-ahli wakil rakyat yang telah mengkhianati perjuangan parti.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya jawatankuasa ini menerima aduan,” kata kenyataan itu lagi.

Choo Kiong sebelum ini ADUN DAP di DUN Tronoh, telah bertindak melompat parti itu untuk menyokong PN di Perak, sehingga menyebabkan tunjuk perasaan di pusat khidmatnya.

Choo Kiong kemudian bersama ADUN DAP Buntong, A Sivasubramaniam, mengumumkan keluar parti dan menyokong PN, pada 9 Mac lalu.

Menurut Chieng Jen, jawatankuasa tatatertib DAP juga telah mengenal pasti ahli parti yang menghadiri sidang media Sivasubramaniam pada 26 Jun untuk mengumumkan kemasukannya ke Gerakan dan telah mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap mereka.

Mereka adalah Dan Adriel Daniel Velloo, Angeline Philip Joe Philip, P Murugiah, Joseph Hendry Kovil Pillai John, Amir Abdullah, R Marimutu, S Theivanai dan William John Johin Bin.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga memutuskan untuk menggantung anggota parti Loh Eng Soon selama satu tahun kerana memburuk-burukkan nama pimpinan negeri dalam akaun Facebook.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.