5 pemimpin Blackout perlu kembali bersama Bersatu

240

7 JULAI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan empat lagi pemimpin yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diseru kembali bersama parti demi kepentingan kelangsungan perjuangan parti.

Ketua Pimpinan Tertinggi Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith, berharap agar mereka ini yang diberi julukan ‘Blackout’ supaya berfikiran rasional dan pulang ke pangkuan Bersatu bagi meneruskan perjuangan.

Menurut beliau, persengketaan antara lima bekas pemimpin itu dengan Bersatu telah bernoktah di mana mereka tidak lagi bersama pucuk kepimpinan parti dan sudah terbatal keahlian.

EDDIN SYAZLEE SHITH

“Buang yang keruh ambillah yang jernih. Tiada gunanya kita terus bersengketa sehingga merugikan diri sendiri dan juga menjejaskan perpaduan dalam parti.

“Kembalilah ke pangkuan parti dan mari kita bersama-sama memperkukuhkan Bersatu dalam menghadapi cabaran serta persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tun Dr Mahathir yang merupakan bekas Pengerusi Bersatu bersama empat lagi pemimpin iaitu bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah pada Mei lalu dihentikan keahlian mereka daripada Bersatu.

Keahlian kelima-lima mereka dihentikan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya memberitahu, beliau secara peribadi mengganggap tindakan ahli kumpulan Black Out itu merupakan satu manifestasi luahan perasaan susulan insiden yang berlaku sebelum ini.

“Saya percaya mereka merupakan ahli-ahli Bersatu yang ikhlas dalam perjuangan cuma mereka mungkin terperanjat dengan apa yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah, semua pihak tidak boleh terus menghukum kumpulan berkenaan kerana mereka memerlukan masa untuk bertenang untuk menerima situasi semasa yang berlaku.

“Apa pun saya yakin semua ahli kumpulan itu sudah bersedia untuk terima keadaan itu sebagai satu proses biasa mendisiplinkan ahli dalam mana-mana pertubuhan yang memiliki peraturan serta Perlembagaan parti.

“Tidak timbul persoalan bahawa parti mahu menganiaya mana-mana ahli kerana segala keputusan dibuat berdasarkan perundangan atau Perlembagaan Bersatu,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.