3 Exco kerajaan negeri P. Pinang beri keterangan

35

7 JULAI: Tiga Exco kerajaan negeri hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang semalam, dipercayai untuk membantu siasatan kes skandal projek terowong dasar laut.

Difahamkan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo, tiba sekitar pukul 9.30 pagi, meninggalkan premis itu pada pukul 12.01 tengah hari tanpa memberi sebarang kenyataan kepada pihak media yang menunggu.

Manakala, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng, pula memasuki bangunan sama pada pukul 11.23 pagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, dilihat tiba pada pukul 2.20 petang.

Menurut, Eng ditemui pemberita selepas keluar dari pejabat SPRM kira-kira pukul 3.20 petang, berkata beliau ditanya mengenai latar belakangnya serta bagi mengesahkan mengenai projek tiga jalan dan terowong dasar laut.

“Semuanya berjalan lancar,” katanya sambil menyatakan pertemuannya berlangsung singkat kerana pegawai SPRM yang mengambil keterangannya menerima tugasan itu pada saat akhir, selepas individu yang sepatutnya menguruskan hal itu diberikan tugasan lain.

Ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula, Eng memaklumkan yang beliau tidak pasti, kecuali dimaklumkan urusannya sudah selesai untuk semalam.

Terdahulu, beberapa pegawai SPRM dilihat tiba di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada pukul 9.55 pagi bagi meneruskan siasatan suruhanjaya itu berhubung projek terowong dasar laut.

Bagaimanapun, wartawan yang menunggu di tingkat 53 sejak pukul 8.30 pagi diarah meninggalkan kawasan itu dan turun ke tingkat bawah oleh pengawal keselamatan.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan suruhanjaya itu tidak pernah menutup siasatan projek bernilai RM6.3 bilion itu, sebaliknya lima kertas siasatan dibuka, selain siasatan juga berada di peringkat akhir.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.