Urusan mohon Sijil Halal akan dipermudah

23

6 JULAI: Mengambil kira krisis COVID-19 yang melanda negara ketika ini, kerajaan bercadang untuk mempermudahkan lagi proses permohonan sijil halal bagi industri makanan.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri berkata, proses itu tetap perlu memenuhi syarat dan piawaian.

Menurut beliau, semua aspek akan diteliti dalam usaha menambahbaik proses permohonan tersebut.

“Saya bercadang, pemprosesan masalah sijil halal ini akan dipermudahkan bukan kita menyukarkan.

“Cuma kena menyempurnakan atau melengkapkan syarat-syaratnya, sebab kita faham dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19, sudah tentu akan menyukarkan (pemohon),” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Zulkifli memaklumkan, cadangan memindahkan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diuruskan Halal Industry Development Corporation (HDC) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini akan diketahui pada Sidang Dewan Rakyat nanti.

Zulkifli menambah, ini kerana keputusan tersebut perlu melibatkan pandangan semua pihak sebelum ia diputuskan.

“Kenyataan bersama akan diumumkan ketika Sidang Parlimen nanti,” katanya.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, menafikan dakwaan ada cadangan memindahkan Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM diuruskan HDC di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau berkata, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, hanya membuat keputusan untuk mewujudkan sekretariat bersama antara HDC dan JAKIM bagi pembangunan industri halal negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.