Tinggal 71 kes, namun rakyat diseru ambil iktibar Australia

76

6 JULAI: Setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki hari ke 111 dan PKPP hari ke-26, kes aktif COVID-19 di negara ini juga terus berkurang dengan jumlah terkini setakat tengah hari ini tinggal sebanyak 71 kes.

Ini apabila kes positif baru yang dilaporkan hari ini hanya berjumlah lima manakala pesakit yang disahkan pulih dan dibenarkan discaj pula 11 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah itu akan terus berkurang berdasarkan trend semasa tetapi yang penting sekarang rakyat perlu terus kekalkan disiplin dan mengambil iktibar dari negara lain yang mula mencatatkan peningkatan apabila peraturan dilonggarkan.

“Rakyat perlu mengambil iktibar antaranya daripada apa yang berlaku di negeri Victoria, Australia apabila terpaksa menutup laluan masuk di sempadan negeri itu dengan New South Wales setelah kes COVID-19 kembali meningkat.

“Kejadian itu berlaku akibat kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan di pusat kuarantin dalam kalangan penduduk Victoria yang baru pulang dari luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengenai statistik kes hari ini, Noor Hisham berkata, daripada lima kes positif baru yang dilaporkan, tiga adalah melibatkan kes import yang melibatkan dua rakyat Malaysia dan seorang pemastautin tetap yang baru pulang dari luar negara.

Katanya, masing-masing baru pulang dari United Kingdom, New Zealand dan Indonesia.

“Bagi dua kes penularan tempatan pula, seorang daripadanya melibatkan warganegara iaitu kes di Selangor manakala seorang lagi pekerja asing di ibu negara,” katanya..

Tambah Noor Hisham, jumlah kematian akibat COVID-19 juga kekal 121 kes bersamaan 1.39 peratus jumlah kes apabila tiada kematian baru dilaporkan.

Katanya, jumlah kes pulih pula berada pada 97.8 peratus atau 8,476 kes dengan keseluruhan kes COVID-19 yang dilaporkan di negara ini berjumkah 8,668 kes.

Sementara itu, kata beliau, kes kluster perhimpunan Sri Petaling juga tinggal satu kes sejak dilaporkan kali pertama 9 Mac lalu dan dijangkakan dalam tempoh seminggu dua lagi, kluster tersebut boleh ditamatkan pengawasan.

“Ini satu kejayaan bagaimana kerjasama sepadu antara agensi kerajaan dan orang ramai menjadi bukti yang kita mampu tangani wabak ini.

“Kesemuanya ada 16,000 jemaah menyertai perhimpunan itu. Kita berjaya kesan dan kawal menerusi kerjasama semua termasuk jemaah sendiri.

“Keseluruhan ada 34 kematian libatkan generasi kluster itu dan diharap dalam seminggu dua ini dapat ditamatkan pengawasan kluster ini,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hisham pada sidang akhbar itu turut mengucapkan terima kasih kepada pengembara rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara kerana umumnya mematuhi arahan termasuk menjalani saringan pada hari ke-13 pengawasan.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada agensi lain yang terlibat iaitu polis yang membantu dalam aktiviti pengesanan rakyat kita yang diarah menjalani kuarantin di rumah,” ujarnya. -M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.