Terowong: Pas hairan Guan Eng seolah diam seribu bahasa

77

6 JULAI: Pas Pulau Pinang mempersoalkan kenapa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, masih ‘menutup mulut’ mengenai skandal kes projek terowong dasar laut yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekarang.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim, berkata beliau hairan kenapa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan mantan Menteri Kewangan itu seperti diam seribu bahasa sekarang walaupun Ahli Parlimen Bagan berkenaan adalah individu paling lantang bersuara apabila ada kes penyelewengan dan rasuah, sebelum ini.

Malah, ketika bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jefrey Chew Gim Eam ditahan oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung kes terowong dasar laut juga Guan Eng diam seribu bahasa.

Sebelum ini Ahli Parlimen Bagan itu sebelum ini begitu lantang mempersoalkan isu membabitkan salah guna kuasa dan rasuah termasuk kes membabitkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), namun setelah Pakatan Harapan tumbang, Guan Eng seolah-olah sebaliknya.

“Sekarang kita lihat Guan Eng senyap, mana Guan Eng? Dulu dia bercakap tentang integriti, isu Datuk Seri Najib, 1MDB dan sebagainya, sekarang kenapa dia senyap?

“Bertukarnya kepada kerajaan Perikatan Nasional ini, dia tahu. Dulu dia di dalam kerajaan Pakatan Harapan, dia mempunyai akses.

“Hari ini kita lihat, fitnah yang mereka lakukan kepada Pas khususnya dulu, mereka yang terlibat. Maka, sebenarnya Allah membuka aib mereka balik dan kita melihat mereka ini sudang hilang keyakinan dan kepercayaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iszuree mengulas berhubung siasatan semula SPRM berhubung kes membabitkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Terdahulu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jefrey Chew Gim Eam ditahan reman oleh SPRM selama empat hari bagi membantu siasatan membabitkan kes tersebut.

Bagaimanapun, Jefrey Chew dibebaskan dengan jaminan tanpa sebarang syarat semalam dengan jaminan RM100,000.

Iszuree pada masa sama turut berharap agar kerajaan Perikatan Nasional dapat berkhidmat kepada rakyat dengan penuh integriti dan ketelusan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.