Sebar berita palsu COVID-19, 266 kertas siasatan dibuka

43

6 JULAI – Penyebaran berita palsu merupakan isu serius di peringkat global dan ketika kemuncak pandemik COVID-19 tidak lama dahulu, gejala itu turut sama naik dengan penularan virus berkenaan sehingga menggusarkan masyarakat.

Namun awas, pihak berkuasa tidak akan membiarkan pelakunya terlepas dan setakat ini 266 kertas siasatan melibatkan penyebaran berita palsu telah dibuka dalam tempoh penularan COVID-19 di negara ini sehingga kini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, malah 30 kes telah dibawa ke mahkamah dengan 13 masih dalam perbicaraan, 172 kes dalam siasatan manakala selebihnya di peringkat awal proses tindakan.

“Kita kena buat penafian serta pemakluman bagi setiap berita palsu yang disebarkan dan ada berita palsu yang wajar diambil tindakan undang-undang bersama polis.

“Kita terpaksa buat bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran yang tidak sewajarnya berlaku dalam kalangan masyarakat. Saya juga menyeru rakyat Malaysia agar berhenti menularkan berita palsu, sahkan dahulu, jangan ‘forward’, ‘sharing’… sahkan dahulu, sahih barulah kita kongsi,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penyampai radio Melaka FM ketika ditemu bual secara langsung dalam lawatannya ke stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka di Jabatan Penyiaran Melaka hari ini.

Dalam lawatan kerja sulung ke Melaka sebagai Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu,. Saifuddin turut melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md. Ali.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebanyak 348 penjelasan telah dikeluarkan bagi memberikan maklumat tepat dan sahih berkaitan sesuatu isu yang ditularkan.

Usaha mengekang penyebaran berita palsu di negara ini juga sentiasa dipantau pasukan respons pantas yang bertugas hampir 24 jam sehari.

“Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat sahih menerusi laman web sebenarnya.my atau bertanya kepada pihak berkaitan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.