Niat Al Jazeera tidak baik, berbohong terang-terangan

226

6 JULAI: Agensi berita asing, Al Jazeera seolah-olah mempunyai niat yang tidak baik apabila menyiarkan dokumentari yang mengelirukan berhubung layanan yang diberikan oleh kerajaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberita Al Jazeera yang membuat liputan tersebut tidak mengamalkan etika kewartawanan dan berbohong secara terang-terangan.

Beliau yang menyaksikan sendiri dokumentari bertajuk ‘Locked Up In Malaysia’s Lockdown’ itu meminta Al Jazeera meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menuduh negara ini mengamalkan dasar perkauman terhadap warga asing.

“Antara perkara yang dibangkitkan adalah layanan kita terhadap PATI yang ditangkap, bermula dengan tangkapan yang dibuat di Selangor Mansion.

“Semua PATI dan rakyat tempatan serta warga asing yang ada dokumen dikurung bersama dalam Selangor Mansion sebab nak kekang COVID-19 semasa PKPD.

“Tuduhan kata kita mengurung secara tidak adil PATI tersebut adalah tidak benar, bukan terhadap PATI sahaja malah PKPD di tempat lain seperti maahad tahfiz di Hulu Langat, bukan warga asing semata-mata tetapi rakyat tempatan pun bukan kawalan dan kawat berduri,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ismail Sabri mengulas tentang isu dokumentari kontroversial tersebut yang mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia ekoran laporan yang jauh tersasar mengenai layanan yang diberikan oleh kerajaan terhadap warga asing ketika PKPD dikuatkuasakan di beberapa lokasi tertentu.

Beliau menambah, kawalan yang ketat di lokasi PKPD dilalukan bagi memastikan tiada penduduk yang kelar manakala orang dari kawasan lain tidak dapat masuk.

Malah, Ismail Sabri menyatakan, kerajaan menanggung kos saringan COVID-19 semua individu dalam lokasi PKPD termasuk PATI.

“Tuduhan kita rasis adalah tidak benar, apa yang dilakukan kerajaan adalah berdasarkan undang-undang imigresen untuk menahan mereka yang tiada dokumen sah atau tiada dokumen langsung,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Al Jazeera untuk menamakan negara lain yang membenarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah untuk bergerak bebas.

Ismail Sabri berkata, lebih 68,000 warga asing yang mempunyai dokumen sah telah disaring dan lebih 2,000 didapati positif COVID-19.

Selain itu, beliau memberitahu, lebih 4,000 PATI di empat depo tahanan imigresen disaring dan seramai 777 orang positif COVID-19.

“Kita tidak membiarkan mereka menderita sakit pusat tahanan. Mereka dirawat sehingga sembuh,” ujarnya.

Ismail Sabri turut menafikan dakwaan dalam dokumentari tersebut kononnya kanak-kanak warga asing digari dan diasing daripada ibu bapa mereka.

“Kanak-kanak diasingkan bersama ibu bapa mereka di tempat khas dalam pusat tahanan dan tidak bercampur dengan tahanan-tahanan yang lain. Ini fakta sebenar,” katanya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberi sokongan terhadap kerajaan dan mengecam laporan Al Jazeera itu. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.