Imigresen beri amaran batal pas, polis mulakan siasatan

64

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi amaran membatalkan kelulusan pas kepada warga asing jika mereka didapati mengeluarkan kenyataan tidak tepat dengan tujuan memburukkan imej negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengingatkan pemegang pas jangka panjang seperti pas penggajian, lawatan kerja sementara dan pas residen supaya berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Mereka berdepan risiko pembatalan pas dan akan diminta meninggalkan negara ini serta-merta, jika kenyataan berkenaan tidak tepat dan bertujuan memburuk-burukkan imej Malaysia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang diterbitkan oleh agensi berita Al Jazeera.

Khairul Dzaimee berkata, laporan mengenai operasi JIM semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikaitkan agensi berita antarabangsa itu sebagai tindakan rasis dan tidak berperikemanusiaan adalah tidak benar kerana tidak mengambil kira fakta sebenar.

“Operasi Imigresen di sekitar Jalan Masjid India, di sini, pada 1 Mei lalu memeriksa seramai 3,352 warga asing, namun jumlah ditahan untuk siasatan lanjut hanya 586 orang.

“Kerajaan Malaysia juga memberi rawatan secara percuma kepada 773 warga asing yang didapati positif COVID-19 di Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan terdapat kedutaan asing yang memuji tindakan ini serta mengucapkan terima kasih,” katanya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan polis telah memulakan siasatan terhadap penyiaran dokumentari yang didakwa berniat memburuk-burukkan Malaysia ketika mengendalikan wabak COVID-19 membabitkan warga asing.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dilakukan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur susulan laporan yang diterima daripada Jabatan Imigresen sebelum ini.

“Siasatan dilakukan susulan satu laporan polis yang diterima daripada pihak Jabatan Imigresen yang dibuat di Balai Polis Presint 7 Putrajaya.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi BH.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.