Hapus kerenah birokrasi, pulih ekonomi lebih pantas

49

6 JULAI: Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu menghapuskan kerenah birokrasi bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu perlu kerana kerenah birokrasi dan masalah di peringkat pentadbiran tidak seharusnya menjadi punca membantutkan pertumbuhan semula ekonomi negara pasca COVID-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menegaskan masalah birokrasi dan pentadbiran boleh menyebabkan Malaysia ketinggalan berbanding negara lain dalam aspek pemulihan semula ekonomi selepas pandemik COVID-19.

Tambah beliau, tindakan itu perlu kerana usaha pemulihan ekonomi banyak bergantung kepada pelbagai perkara termasuk ketegasan dan kecepatan membuat keputusan yang tepat.

Katanya, usaha dan tindakan yang diambil oleh kerajaan akan menentukan sama ada unjuran Bank Dunia bahawa Malaysia bakal menjadi antara negara pertama yang ekonominya pulih pada penghujung tahun depan.

“Negara kini berdepan tempoh kritikal dalam perlumbaan untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19.

“Justeru, saya telah memberitahu kepada Jemaah Menteri, sebagai contoh, walaupun Malaysia sudah hampir selesai menangani masalah COVID-19, insya-Allah, jauh agaknya lebih cepat daripada sesetengah negara, contohlah, negara jiran kita.

“Tetapi janganlah dengan sebab kerenah birokrasi dan permasalahan yang kita hadapi di peringkat pentadbiran maka negara yang ke belakang boleh sedia ke depan daripada kita dari segi proses pemulihan. Mereka pulih lebih awal berbanding kita. Ini tidaklah satu contoh yang baik.

“Yang penting bagi kita situasi ekonomi kita dalam tempoh yang agak sesuai dapat kita kembalikan semula. Unjuran Bank Dunia mengatakan mungkin Malaysia menjadi antara negara pertama yang dikatakan kembali pulih dengan kadar pertumbuhan 5.6 peratus pada hujung tahun 2021,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada kira-kira 250 kakitangan dan pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Perjumpaan Bulanan pertamanya di Putrajaya hari ini sejak menerajui kerajaan pada Mac lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, cabaran yang perlu digalas, bukan hanya pada beliau atau Kabinet serta kakitangan Kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya juga menjadi tanggungjawab di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, beliau berkata, tempoh empat tahun diperlukan untuk memulihkan sektor pelancongan negara yang terjejas teruk ekoran penularan pandemik COVID-19 sejak awal tahun ini.

Muhyiddin memberitahu, unjuran Majlis Tindakan Ekonomi sebelum ini meletakkan tempoh berkenaan, iaitu satu jangka masa yang panjang memungkinkan ramai peserta industri sedia ada tiada lagi menjelang tempoh itu.

Beliau menjelaskan, ia berikutan peserta industri pelancongan sedia ada mengalami kerugian akibat situasi ketika ini.

“Antara sektor yang dikatakan paling teruk terjejas adalah pelancongan. Unjuran yang dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi, dikatakan untuk sektor pelancongan ini pulih seperti sedia kala perlu tempoh empat tahun, itu satu jangka masa yang panjang.

“Mungkin dalam empat tahun kita akan tengok pemain-pemain baharu kerana yang lama mungkin sudah rugi, maka akan lahir pemain baharu dan mereka ini juga perlukan sokongan dan bantuan yang boleh mudahkan urusan mereka supaya pelancongan dapat kembali menjadi antara penjana pendapatan negara yang terbesar.

“Saya fikir hampir RM80 bilion dapat kita kumpul (pulangan) dalam sektor pelancongan saja,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, apabila pelbagai peringkat industri, perniagaan dan segala bentuk kegiatan ekonomi negara hampir terhenti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, negara kerugian RM2. 4 bilion sehari.

Justeru, beliau berkata, kerajaan mengambil beberapa pendekatan dan usaha termasuk memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi rihatin Rakyat dengan peruntukan sejumlah RM260 bilion.

Katanya, ia adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk meletakkan semula landasan ekonomi ke landasan yang betul.

“Dengan bantuan-bantuan yang kita sediakan untuk semua sektor ekonomi, perniagaan, industri dan semua bidang-bidang utama termasuk yang dalam bidang ekonomi tidak formal.

“Semua ini bukan mudah kerana bila kita nak mulakan kegiatan ekonomi kita dapatkan maklumat lapangan mengenai kesukaran (yang dihadapi),” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.