Berhenti pertikai pencalonan Muhyiddin sebagai PM selepas PRU-15

88

6 JULAI: Mana-mana pihak sewajarnya berhenti mempertikaikan pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, jika isu itu terus diperkatakan, ia dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, langkah meletakkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi PN amat penting bagi mengelakkan berlaku sebarang perpecahan dalam kalangan parti gabungan itu.

“Saya minta permasalahan (tidak bersetuju pencalonan Muhyiddin) ini tidak perlu dipanjangkan kerana kita tidak mahu ada perpecahan.

“Ada banyak agenda perlu dibincangkan di peringkat PN seperti isu pembahagian kerusi pilihan raya antara parti dan sebagainya, ” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Zahidi yang juga merupakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia secara peribadi turut memberi sokongan terhadap pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri PN selepas PRU15.

“Saya (secara) peribadi bersetuju Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan saya minta semua hentikan sebarang perkara yang boleh memberi kesan kepada peluang kemenangan PN pada PRU15,” katanya.

Sokongan Zahidi kini menjadikan seramai 12 pemimpin Perikatan Nasional (PN) dikenal pasti menyokong pencalonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain Zahidi yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Perlis, beberapa pemimpin PN lain yang menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin termasuklah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii; Ahli Majlis Tertinggi GPS, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong turut menyatakan pendirian sama.

Turut menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin ialah Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Perkembangan terkini itu sekali gus mengetepikan dakwaan pencalonan Muhyiddin tidak mendapat restu majoriti pemimpin PN terutama UMNO susulan beberapa siri kritikan dilontarkan sebilangan pemimpin parti itu sejak kebelakangan ini.

UMNO dan Pas secara prinsip melalui Muafakat Nasional bersetuju untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.