Bank Islam bantu pelanggan selepas tempoh moratorium

27

6 JULAI: Pelanggan-pelanggan Bank Islam Malaysia Bhd yang terjejas akibat COVID-19 boleh menghubungi institusi kewangan berkenaan bagi mendapatkan penyesaian terbaik selepas moratorim berakhir September ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed menjelaskan, Bank Islam prihatin terhadap keperluan pelanggan dan secara proaktif menyediakan pelbagai penyelesaian berdaya maju.

Menurut beliau, langkah itu adalah untuk membantu mereka menghadapi keadaan ekonomi tidak menentu akibat wabak yang memberi kesan kepada perniagaan kecil dan runcit.

“Segmen tersebut juga merupakan kumpulan portfolio pembiayaan terbesar Bank Islam,” katanya dalam kenyataan media.

Mohd Muazzam menambah, sepanjang enam bulan pelaksanaan moratorium, Bank Islam telah membantu lebih 394,000 pelanggan merangkumi segenap segmen.

Beliau memberitahu, pelanggan akan membayar jumlah ansuran yang sama selepas tempoh moratorium berakhir.

“Pelan strategik telah dirangka dan Bank Islam sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi keutamaan serta mereka bersedia untuk mencari jalan keluar daripada persekitaran yang mencabar ini,” jelasnya.

Para pelanggan Bank Islam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai alternatif penyelesaian bayaran Bank Islam, mereka boleh datang ke cawangan Bank Islam berhampiran atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-2690 0900.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.