Kelab malam: 96 ditahan ingkar PKPP

87

5 JULAI: Seramai 96 individu ditahan kerana kesalahan ingkar Perintah Kawalan pergerakan Pemulihan (PKPP) berkaitan dengan aktiviti pub atau kelab malam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keseluruhannya 165 ditahan dalam Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Katanya, selain 96 yang ditahan berkait aktiviti pub, dua lagi ditahan kerana melakukan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial manakala 67 lagi berkait aktiviti yang melanggar SOP.

Tambah beliau, daripada jumlah ini, 14 individu telah direman manakala 151 lagi telah dikompaun.

“Keseluruhannya pada 4 Julai, PDRM telah membuat 61,727 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan
Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP),” katanya dalam satu kenyataan berhubung perkembangan PKP hari ke 110.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, hanya seorang daripada seramai 771 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dibawa ke hospital manakala selebih diperintah menjalani kuarantin wajib di rumah.

Katanya, rakyat Malaysia yang pulang semalam adalah dari Singapura, Indonesia, UAE, Taiwan, Thailand, Qatar, Australia dan Korea Selatan.

Dalam kenyataan sama, Ismail Sabri memaklumkan, keseluruhannya sebanyak 19 tapak pembinaan diarah tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) setakat ini.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diriterutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.