Hanya lima positif COVID-19 hari ini

52

5 JULAI: Penularan wabak COVID-19 di negara ini terus mencatatkan perkembangan positif apabila hanya lima kes baharu direkodkan, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 8,663 kes, dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan ialah 77 kes.

Menurut beliau, lima kes baharu dicatatkan iaitu dua kes penularan dalam negara semuanya merupakan rakyat Malaysia manakala tiga kes import, hanya seorang sahaja melibatkan warga asing.

“Dua kes tempatan melibatkan seorang rakyat warganegara yang menetap di Negeri Sembilan dan Sabah manakala kes import yang melibatkan warga asing merupakan seorang rakyat Pakistan yang baru datang dari Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham turut memberitahu, empat kes pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang bebas daripada jangkitan COVID-19 adalah 8,465 kes.

Selain itu, katanya, dua kes positif COVID-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala dua lagi kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, justeru jumlah keseluruhan kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes atau 1.41 peratus,” katanya.-AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.