Formula kerjasama PRK Chini membuahkan hasil

41

5 JULAI: Segala formula yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) melalui kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN) nyata membuahkan hasil.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerjasama dengan Pas nyata memberikan impak yang positif apabila penyokong parti itu memberikan sokongan padu sehingga membawa kemenangan besar kepada calon BN, Mohd. Sharim Md Zain.

“Walaupun kita berdepan dengan calon Bebas tapi sebenarnya dia tidak begitu bebas sebab Tun Dr Mahathir Mohamad telah beri sokongan. Penat dia buat video dan surat layang tapi calon dia hilang deposit.

“Ini menunjukkan rakyat Chini memilih BN dan Muafakat Nasional dan ini adalah formula yang mendapat tempat di hati rakyat dan jentera kita berjalan lancar,” katanya ketika ditemui media selepas BN diumumkan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, malam tadi.

Terdahulu, Mohd Sharim, 41 diangkat sebagai ADUN Chini yang baharu setelah memperoleh 13,872 undi, jauh mengatasi dua pencabarnya.

Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan dalam pada itu memberitahu kemenangan Mohd Sharim sememangnya berbaloi dan ia melengkapkan kemenangan BN yang telah bermula di Cameron Highlands.

“Memang berbaloi dan kita nak majoriti besar dan kita kata penting kekalkan rekod Pahang sebab kita mula di Cameron Highlands dengan Muafakat Nasional.

“Kini dengan Chini kita menang cemerlang dan saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana beri sokongan kepada calon kita dan kerjasama semua pihak ini telah membawa kejayaan yang luar biasa,” katanya.

BN semalam mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menerusi kemenangan calonnya, Mohd Sharim Md Zain, 41 pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 12,650 undi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.