Zulkifli sokong Muhyiddin selepas dipecat PKR

115

4 JULAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, mengumumkan beliau kini bersama kerajaan Perikatan Nasional dan menyokong penuh kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri selepas dipecat dari PKR, pada 1 Julai lalu.

Beliau membuat keputusan itu kerana melihat PKR dan Pakatan Harapan (PH) sekarang bukan lagi gabungan yang boleh diharap dan mampu menjadi sandaran rakyat yang kini dihimpit masalah COVID-19.

“Melihat kepada keadaan yang berlaku dalam PKR dan PH ketika ini yang sudah hilang arah tuju, saya sangat yakin PKR dan PH tidak lagi boleh menjadi sandaran rakyat pada masa-masa akan datang.

“PKR itu sendiri telah kehilangan roh perjuangan reformasi sejak ditubuhkan pada tahun 1998 atas dasar ‘Demi Rakyat’ namun malang sebaliknya sekarang berganti dengan politik taksub ekstrim yang melampau dan pastinya merugikan rakyat amnya.

“Justeru, saya memilih dan teguh bersama PN untuk memastikan Kerajaan Persekutuan hari ini yang telah terbukti kepeduliannya terhadap rakyat akan dapat terus dipertahan dan dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zulkifli turut mengesahkan beliau sudah menerima surat pemecatan secara rasmi kelmarin yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR bertarikh 1 Julai 2020.

Beliau juga amat terkejut dengan keputusan PKR itu kerana dia sudah berjuang bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak era Reformasi 1998 lagi.

Berikutan itu, Zulkifli mempertikaikan alasan digunakan pemimpin tertinggi PKR untuk memecatnya dan malah sehingga kini tidak diberikan ruang untuk membela diri.

“Apakah alasan PKR memecat saya? Sehingga kini saya tidak diberikan alasan yang kukuh atau tidak langsung diberikan peluang untuk membela & mempertahankan diri. Mengapa Jawatankuasa Disiplin Parti tidak memanggil saya untuk mengadakan siasatan dalaman sebelum memecat saya?

“Adakah ini tunjang prinsip parti keadilan yang diagung-agungkan selama ini?? Adakah demokrasi dalam parti sudah mati angkara tangan-tangan ghaib yang berpaksikan pada diktator tersebut.

“Apakah kerana saya tegas untuk tidak mengamalkan politik sempit dan dendam dan memilih untuk mengutamakan kepentingan rakyat Sungai Acheh maka saya dipecat? Apakah kerana saya lantang mempertahankan parti dari dipijak oleh Amanah dan DAP maka saya dipecat?,” katanya.

Beliau seterusnya mempertikaikan tindakan pemimpin teringgi PKR yang didakwa mengamalkan dwistandard dalam mengambil tindakan disiplin dan memecatnya dari parti itu.

“Adakah Datuk Seri Anwar mengutamakan agenda rakyat tentang kesusahan dan penderitaan rakyat yang menderita akibat COVID-19 atau hanya berkisarkan tentang agenda politiknya yang tiada kesudahannya.

“Apa yang membezakan antara saya dan Anwar adalah saya bertemu dengan YAB Perdana Menteri atas sebab tugas dan tanggungjawab saya mewakili rakyat DUN Sungai Acheh berbanding Anwar yang berjumpa atas sebab inginkan jawatan semata-mata.

“Saya meletakkan fokus dan gerak kerja saya 100 peratus hanyalah untuk rakyat di DUN Sungai Acheh semata-mata tanpa sedikit pun ada agenda peribadi untuk saya selitkan ketika perjumpaan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.