Transformasi FGV melalui pelaksanaan projek MPC

51

4 JULAI: FGV Holdings Bhd (FGV) akan meneruskan agenda transformasi dengan memperkenalkan projek konsep perladangan model (MPC) terutamanya di ladang-ladang dan kilang-kilang miliknya di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan menyatakan, projek MPC telah menunjukkan kejayaan menerusi beberapa pensijilan yang diterima dua estet dan dua kilang termasuk pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Beliau berkata, salah satu daripada cabaran operasi FGV adalah kepelbagaian 197 ladang dan 68 kilangnya dari segi saiz, kos operasi, kemudahan dan keupayaan tenaga kerja.

Menurut Haris Fadzilah, melalui pelaksanaan projek MPC, pemiawaian optimum mampu dicapai dan seterusnya meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos.

Sebagai contoh, jelas beliau, kilang sawit Maokil yang telah beroperasi selama 29 tahun telah menunjukkan peningkatan produktiviti, pemprosesan dan kadar pengekstrakan minyak sebanyak 20.74 peratus pada 2019 berbanding 19.86 peratus pada 2018.

“Melihat kepada kejayaan Maokil, kami yakin projek MPC akan menjadi pemangkin kepada transformasi pelan perniagaan syarikat.

“FGV akan melaksanakan projek MPC secara berfasa. Fasa selanjutnya ialah kilang getah Palong 8 di Negeri Sembilan, kilang penapisan Delima Oils Products di Johor, kilang minyak sawit Embara Budi dan estet Sahabat 11 di Sabah,” katanya dalam kenyataan media.

Projek MPC adalah inisiatif sistematik baharu untuk memperkukuh, menyeragamkan dan mengekalkan kaedah terbaik dalam amalan perladangan dan pembuatan.

Pelaksanaan projek berkenaan menetapkan standard keseluruhan prosedur baharu bagi operasi dan amalan pertanian, pemprosesan dan pembuatan, meningkatkan pematuhan kepada keselamatan pekerjaan, dasar kesihatan dan persekitaran, mengoptimumkan sumber manusia, menambah baik perumahan pekerja dan penggunaan teknologi dan ICT.

Dilaksanakan pada 2019, projek perintis itu dijalankan di estet Tembangau 6 di Pahang dan kilang sawit di Besout, Perak, diikuti estet Maokil 7 dan kilang sawit Maokil di Johor yang akan menjadi model bagi estet dan kilang lain untuk pelaksanaan fasa yang selanjutnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.