Tragedi MH17: Hakim benarkan siasat penjelasan alternatif

67

4 JULAI: Para hakim dalam perbicaraan kes tembak jatuh pesawat MH17 di The Hague, Belanda membenarkan permohonan peguam bela supaya pegawai penyiasat menyiasat kemungkinan penjelasan alternatif bagi nahas tersebut.

Memetik laporan Agensi, permohonan tersebut dibuat peguam bela mewakili bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU, Oleg Pulatov supaya hakim memeriksa testimoni saksi serta memeriksa senario lain yang berkemungkinan berlaku terhadap pesawat terbabit.

Senario lain termasuk teori kemungkinan pesawat awam itu ditembak secara tidak sengaja atau dijadikan perisai kepada pesawat tentera.

Pulatov, satu-satunya tertuduh yang diwakili peguam, manakala tiga lagi tertuduh iaitu bekas Kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB), Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera agensi Tentera Russia (GRU), Sergey Dubinskiy dan Leonid Kharchenko dari Ukraine dibicarakan ‘in absentia’ (tanpa kehadiran di mahkamah).

Perbicaraan ditangguhkan sehingga 31 Ogos ini bagi memberi ruang kepada hakim mendengar kenyataan saksi tambahan dan memberi masa kepada peguam bela untuk bertemu Pulatov.

Semua tertuduh didakwa dengan kesalahan membunuh dan dengan sengaja serta tidak sah memusnahkan MH17 sehingga menyebabkan kematian 298 penumpang.

Pesawat MH17 dengan 298 penumpang serta anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014.

Pasukan Siasatan Bersama (JIT) kemudian dibentuk dengan dianggotai penyiasat dan pendakwa dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.