KM Pulau Pinang beri keterangan kepada SPRM Selasa depan

65

4 JULAI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow merupakan antara pemimpin kerajaan negeri yang bakal dipanggil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal terowong dasar laut, Selasa depan.

Ketika mengesahkan perkara itu, beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk bekerjasama dengan SPRM.

“Sebelum ini beberapa EXCO dan pegawai kerajaan negeri dalam bahagian teknikal berhubung projek itu dipanggil untuk direkod keterangan,” katanya di Pulau Pinang, hari ini.

Selasa lalu, SPRM menahan bekas Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam, selepas mengambil keterangannya bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut itu.

Semalam, beberapa pegawai SPRM telah hadir di bangunan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown untuk mengambil keterangan beberapa petugas di bangunan itu.

Dua pasukan SPRM tiba di tingkat 52, Komtar pada jam 9.35 pagi, yang menempatkan pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P. Ramasamy dan dua exco kerajaan negeri, Zairil Khir Johari serta Yeoh Soon Hin.

Sejak 2017, pelbagai kontroversi tercetus berhubung projek terowong sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.