Jangan ada campur tangan politik dalam siasatan SPRM

73

4 JULAI: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berharap tiada lagi campur tangan politik dalam penyiasatan dan pendakwaan kes skandal terowong dasar laut Pulau Pinang.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, SPRM juga perlu melengkapkan segera kertas siasatannya kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan umum dan sudah berlarutan, sejak 2017.

Sehubungan itu, MCW menggesa pihak SPRM menyelesaikan segera penyiasatan kes ini yang telah berlarutan agak lama.

“Kes ini telah menimbulkan pelbagai polemik dan ketidaktenteraman politik di Pulau Pinang dan mempengaruhi iklim ekonomi yang baru hendak bermula.

“MCW juga berharap Pejabat Peguam Negara dapat melakukan pendakwaan terhadap kes ini jika terdapat bukti kukuh dan saksi mencukupi serta janganlah segan silu untuk mendakwa pihak terbabit walau siapa pun mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jais berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki yang menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah cuba menutup atau berhenti menyiasat skandal projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

SPRM sudah membuka lima kertas siasatan berhubung projek berkenaan dan tiada cadangan menutupnya bahkan siasatan masih berjalan seperti biasa.

Difahamkan, penahanan bekas Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang, Jeffery Chew dipercayai ada kaitan dengan skandal tersebut. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.