Beri generasi muda peluang secukupnya – Mohamad

72

4 JULAI: Golongan muda perlu diberikan peluang dan ruang secukupnya dalam sfera pembangunan, politik dan ekonomi negara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan percaya sudah tiba masanya Malaysia membuka peluang dan ruang seluas-luasnya kepada anak muda sebagai generasi pelapis kepemimpinan negara pada masa depan.

Menurut beliau, tidak kira sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, bidang ekonomi mahupun politik, peredaran masa harus disertai dengan idea termaju dan perubahan cara kerja.

MOHAMAD HASAN

“Golongan muda mempunyai sejuta potensi yang mesti dibongkar untuk memajukan negara ini. Generasi lama pula perlu bekerjasama dan membantu golongan ini, dengan memberi peluang kepada mereka untuk mencorakkan masa depan negara.

“Persada politik umpamanya, memerlukan golongan muda sebagai pencetus pembaharuan yang nyata. Kita mesti berhenti memandang golongan belia hanya sebagai ‘pengganti’ kepada generasi lama,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Mohamad menambah, golongan muda seharusnya menjadi pemain penting di persada politik negara pada waktu muda mereka.

Malah, jelas beliau, beberapa negara maju telah bersedia mempunyai Perdana Menteri dan Presiden pada umur semuda 35 tahun.

“Ingatlah kita hidup di zaman ‘mereka’ dan mereka mesti mempunyai suara, sumbangan dan kepentingan yang mesti mereka lunaskan. Bukan tugas kita untuk menunda peranan mereka dalam politik dan kepimpinan parti dan negara,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata ekonomi Malaysia juga tidak boleh senantiasa selesa dan berpuas hati dengan ‘struktur’ lamanya kerana fasa seterusnya mesti berorientasi global dengan dipacu teknologi termaju.

“Mengambil teladan dari pengalaman pemain-pemain global, terbukti bahawa revolusi ekonomi dengan teknologi yang mengegarkan dunia saat ini tercetus dari idea-idea inovatif generasi muda.

“Syarikat-syarikat seperti Airbnb, Grab, Gojek dan OYO, semuanya tercetus dari idea besar dan sikap ‘adventurous’ golongan muda. Mereka menggunakan ilmu, kreativiti, teknologi dan inovasi untuk mencetus peluang dan memacu perubahan.

“Idea mereka mendahului zaman dan sangat ‘disruptive’. Bagi mengarusperdanakan peranan generasi muda ini, peranan Kerajaan sewajarnya menjadi pemudahcara. Jangan beritahu mereka apa yang perlu mereka lakukan. Tetapi biarkan mereka bereksperimen dengan idea mereka,” katanya.

Mohamad memberitahu, era kerajaan tahu segalanya telah berakhir dan untuk memacu ekonomi masa hadapan Malaysia, satu ekosistem yang kondusif bagi syarikat baharu, keusahawanan sosial dan gerakan madani yang memberdaya golongan belia mesti diwujudkan.

Katanya, tanpa ekosistem yang sesuai dan mendukung, idea terbaik dari generasi muda akan dibazirkan hanya kerana kerajaan gagal untuk beranjak dan berubah sesuai zaman dan masa.

“Salah satu strategi penting untuk meningkatkan kebolehsaigan generasi muda Malaysia ialah menggandakan program peningkatan dan penyesuaian semula kemahiran di peringkat nasional secara agresif.

“Ini kerana ramai belia ketika ini bekerja dan dilatih untuk pekerjaan tradisional yang kebanyakannya telah diambil alih oleh mesin dan kecerdasan buatan,” jelasnya.

Menurut beliau, program sedemikian perlu dipadankan juga dengan pelaburan dalam menyediakan platform pemadanan pekerjaan yang bukan sahaja menghubungkan belia dengan peluang pekerjaan baharu di Malaysia, tetapi juga di luar negara.

“Semua pihak perlu yakin dengan kemampuan generasi muda Malaysia. Selagi kita sangsi, selagi itulah kemajuan dan kebingkasan Malaysia hanya jadi biasa dan sederhana sahaja. ‘Game changer’ yang Malaysia perlukan ialah generasi mudanya dan tiada yang lain,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.