Bank Rakyat bantu pelanggan terjejas akibat COVID-19

47

4 JULAI: Pelbagai kemudahan kewangan ditawarkan Bank Rakyat kepada para pelanggannya yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Bank Rakyat berkata, tawaran istimewa tersebut merangkumi produk pembiayaan peribadi sehingga produk bagi program usahawan.

“Bagi kempen usahawan menerusi BizCare serta BizLady, Bank Rakyat telah memperuntukkan kemudahan pembiayaan bernilai RM300 juta yang mana sebanyak RM250 juta disediakan untuk BizCare dan RM50 juta untuk BizLady.

“Sebanyak RM5.4 juta diperuntukkan kepada 26 pemohon di wilayah utara sejak April sehingga Jun tahun ini. Kempen ini berlangsung sehingga 31 Dis, 2020 yang bermatlamat membantu melonjakkan semula pertumbuhan ekonomi negara pasca-COVID-19,” jelas Bank Rakyat dalam kenyataan media, semalam.

Tambah Bank Rakyat, menerusi kempen tersebut, para usahawan perusahaan mikro berpeluang memperoleh pembiayaan di antara RM1,000 dengan RM50,000 bagi tempoh 5.75 tahun atau 69 bulan.

Selain itu, katanya, bagi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan koperasi pula, mereka berpeluang mendapatkan pembiayaan minimum RM20,000 dan sehingga RM300,000 untuk tempoh sama.

Bank Rakyat turut menawarkan produk Pembiayaan Peribadi-i dengan kadar pembiayaan kepada pelanggan serendah 2.51 peratus setahun terutama untuk pelanggan yang memerlukan aliran tunai segera.

“Menerusi kempen ‘Stay Safe, Save More!’ di bawah produk Pembiayaan Kenderaan-i pula dikhususnya untuk pelanggan yang berhasrat membeli kereta baharu, dan tawaran tersebut berlangsung dari 17 Jun hingga 30 Sept ini,” kata Bank Rakyat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.