77 individu ditahan ingkar arahan PKPP

41

4 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 77 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13 individu direman manakala 64 lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk 15 kes aktiviti sukan sentuh, 12 kes aktiviti pub atau kelab malam dan 50 kes aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, kata beliau, seramai sembilan warga asing ditahan atas kesalahan imigresen dalam sekatan jalan raya Operasi Benteng semalam.

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, seramai 47 individu yang pulang ke negara ini sejak 10 Jun lalu sehingga semalam didapati positif COVID-19.

Beliau menyatakan, kesemua individu itu dikesan positif hasil saringan Kementerian Kesihatan ke atas 10,278 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Daripada jumlah ini 10,231 individu didapati negatif COVID-19 dan menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing,” jelasnya.

Manakala, Ismail Sabri memberitahu, mereka yang didapati positif dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ismail Sabri berkata semalam, seramai 1,171 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari Indonesia, Singapura, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, China, Pakistan, Brunei, Hong Kong, Vietnam, Arab Saudi, Australia dan Filipina.

Daripada jumlah itu 1,164 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala tujuh individu dibawa ke hospital.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.