10 kes baharu COVID-19 dikesan

78

4 JULAI: Kementerian Kesihatan mengesahkan 10 kes baharu COVID-19 termasuk tujuh kes import membabitkan rakyat Malaysia dilaporkan berlaku hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan berkenaan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,658 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 76 kes dan kesemua individu berkenaan kini diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau menambah, terdapat 15 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan dibenarkan keluar daripada wad adalah sebanyak 8,461 kes (97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Daripada 10 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua warganegara Malaysia.

“Daripada tiga kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan orang kena tahan (OKT) di Seremban, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke penjara. Dua kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham mengesahkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, sekali gus menyebab jumlah kumulatifnya menjadi kekal sebanyak 121 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengesahkan kluster baharu yang tamat iaitu Kluster Pudu di mana kluster berkenaan membabitkan penghuni kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mula dikesan daripada saringan pekerja di sebuah tapak pembinaan.

Katanya, kes positif COVID-19 pertama kluster ini dikesan pada 10 Mei 2020 susulan saringan COVID-19 yang telah dijalankan bagi pekerja (inisiatif majikan syarikat tersebut).

“Sehingga 3 Julai 2020, seramai 3,387 telah disaring dan didapati 80 kes yang positif COVID-19 (iaitu kadar positif 2.36 peratus). Kes-kes positif kluster ini merangkumi 97.5 peratus bukan warganegara Malaysia.

“Antara warganegara yang terlibat adalah 69 warga Bangladesh; tujuh Myanmar; masing-masing dua Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Berikutan itu, kawalan pentadbiran telah dilaksanakan di kawasan kluster ini dengan bantuan pelbagai agensi lain bagi menjalankan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan seterusnya langkah pembendungan penularan jangkitan.

“Hasil siasatan mendapati bahawa faktor yang menyumbang kepada penularan jangkitan COVID-19 dalam kluster ini adalah penginapan yang sesak dan mempunyai ruang yang sempit.

“Keadaan ini telah mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial yang selamat di kalangan mereka yang dikesan positif,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.