Tiket penerbangan perlu kembali harga asal sebelum PKP

101

3 JULAI: Kerajaan berpandangan bahawa harga tiket penerbangan perlu dikembalikan semula kepada harga asal sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP mengambil maklum isu harga tiket penerbangan yang tinggi terutamanya bagi penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, syarikat penerbangan diminta untuk menyelaraskan harga tiket ke paras normal khususnya untuk pelajar serta guru sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) yang akan menyambung semula sesi pengajian.

“Kementerian Pengangkutan telah diminta untuk mengadakan sesi libat urus bersama syarikat penerbangan bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah membenarkan latihan dan aktiviti sukan serta rekreasi yang tidak ada sentuhan badan secara individu dan bukan berpasukan bermula 15 Jun 2020.

Beliau memberitahu, kerajaan mendengar rayuan serta keluhan daripada pengusaha-pengusaha sukan berkontak termasuk persatuan bola sepak bagi pembukaan semula aktiviti sukan berkontak.

“Minggu depan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan membentangkan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP mengenai cadangan membenarkan latihan penuh secara berkontak bagi sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur.

“Menteri Belia dan Sukan juga akan membentangkan cadangan penganjuran kejohanan sukan dan rekreasi secara berperingkat bagi pertimbangan Mesyuarat Khas,” jelasnya.

Ismail Sabri menambah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri sukan dari semasa ke semasa.

“Hari ini, KBS akan mengadakan satu sesi libat urus bersama pengusaha-pengusaha padang dan gelanggang komersil serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal,” ujarnya.

Beliau berkata, keputusan untuk membenarkan aktiviti sukan berkontak bergantung kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.