Speaker: Bakal pengganti sangat berkelayakan

274

3 JULAI: Calon Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sudah pun dikenal pasti.

Ketika memaklumkan perkara itu, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof bagaimanapun hanya memberi bayangan bahawa calon berkenaan bukan seorang Ahli Parlimen.

Menteri Kanan Infrastruktur dan Menteri Kerja Raya itu juga hanya tersenyum apabila ditanya sama ada calon berkenaan juga dari Sarawak.

“Saya tak mengatakan siapa bakal penggantinya, yang pasti bakal penggantinya orang yang berkelayakan, orang Malaysia,” katanya selepas majlis penyerahan sijil kontraktor penyiap kepada 39 kontraktor di Kuala Lumpur hari ini.

Pada Ahad lalu, Mohamad Ariff mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai speaker Dewan Rakyat ditamatkan.

Menurut Mohamad Ariff, turut diterima adalah usul mencadangkan supaya timbalan beliau, Nga Kor Ming juga ditamatkan perkhidmatannya.

Sementara itu, Fadillah berkata, GPS menyokong apa yang telah diputuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan yakin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai asas kukuh dalam mengusulkan pertukaran kedua-dua pemegang jawatan berkenaan.

“Jadi kita akan sokong usul itu, dah kenal pasti siapa bakal pengganti dan kita akan melihat apa yang akan berlaku di Parlimen pada 13 Julai nanti,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri Sarawak, Fadillah berkata, pihaknya bersedia menghadapinya pada bila-bila masa namun tarikhnya terserah kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Untuk kita di Sarawak kita bukan bekerja untuk pilihan raya, kita bekerja untuk rakyat dan kita bersedia pada bila-bila masa pilihan raya itu akan diadakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.