Kes baru kekal satu angka lima hari berturut-turut

44

3 JULAI: Kes positif COVID-19 kekal dalam lingkungan satu digit sejak lima hari lalu dengan hari ini sebanyak lima kes dilaporkan melibatkan hanya dua kes jangkitan tempatan dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes berkenaan kesemuanya melibatkan rakyat tempatan iaitu kes rujukan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Katanya, kes import yang dilaporkan sehingga tengah hari ini juga melibatkan rakyat Malaysia yang mendapat jangkitan di tiga negara Asia Barat.

Tambah Noor Hisham, hari ini turut menyaksikan tiada pertambahan kes kematian akibat COVID-19 dengan jumlah kumulatif setakat ini kekal sebanyak 121 kes.

“Sehingga tengah hari ini, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 hanyalah sebanyak 81 kes dan mereka telah diasingkan dan diberikan rawatan.

“Ini apabila sembilan lagi pesakit telah pulih dan dibenarkan dsicaj. Ini menjadikan kes yang telah pulih dan discaj sebanyak 8,446 kes,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, trend penurunan kes sangat positif namun Kementerian Kesihatan akan meneruskan pendekatan tertumpu ke atas kumpulan sasar yang terbukti keberkesanannya.

Katanya, pendekatan yang sama juga dipakai di kebanyakan negara yang telah berjaya memerangi COVID-19 tanpa melakukan ujian saringan besar-besaran.

Menurutnya, kaedah ini telah terbukti selain mampu menjimatkan kos dan sumber memandangkan perjalanan memerangi wabak ini masih berpanjangan.

“Pada masa sama, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan COVID-19 di dalam dan luar negara melalui maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” jelasnya.

Noor Hisham dalam sidang media itu juga terus mengingatkan rakyat Malaysia mematuhi nasihat kesihatan antaranya menjaga kebersihan diri serta mengelak tempat sesak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.