Keputusan PRK Chini referendum PRU-15 – Mohamad

157

3 JULAI: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan menjadi referendum kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, majoriti besar yang diperoleh calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain akan menjadi kayu pengukur kepada penerimaan kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita nak pastikan supaya prestasi kemenangan kita itu menjadi petunjuk angka yang boleh dijadikan sebagai rujukan bagi menghadapi PRU-15 yang kita tak tahu bila.

“Kita harap supaya latihan yang kita ada di bahagian-bahagian dan negeri-negeri berkesan untuk melatih jentera kita,” katanya selepas ceramah Muafakat Nasional di Chini 1, malam tadi.

Turut hadir, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad memberitahu, calon BN dijangka melonjakkan jumlah majoriti kerana kerjasama rapat yang telah dijalankan PAS dalam Muafakat Nasional.

“Kalau boleh kita nak gandakan jumlah majoriti yang kita dapat kalau dulu kita ada tiga penjuru BN, PAS dan Pakatan Harapan (PH).

“PAS dapat 5,000 undi, PH dapat seribu lebih, jadi kalau kita boleh lonjakkan majoriti kita itu sekali ganda kerana memandangkan PAS telah mengatakan sokongan dan Bersatu juga mengatakan sokongan kepada kita jadi kalau boleh kita nak supaya gandakan majoriti kita,” katanya.

Hari ini merupakan hari terakhir bagi siri kempen PRK selama 14 hari sejak 20 Jun lalu.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.