Kepimpinan PN perlu kekal setia dengan Muhyiddin

75

3 JULAI: Setelah berjaya memantapkan kerjasama parti-parti yang bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN), langkah seterusnya bagi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah memastikan kesetiaan mereka berkekalan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penganalisis politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, beliau yakin bahawa Muhyiddin memiliki ketokohan dan kewibawaan yang diperlukan untuk memimpin PN.

Pada masa yang sama, menurut beliau, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memastikkan PN mampu bertahan sehingga penggal ini berakhir.

“Sokongan daripada PN terhadap Muhyiddin jelas menunjukkan isyarat bahawa UMNO, PAS dan Bersatu serta parti komponen lain dalam BN sudah membentuk satu kerjasama yang kukuh untuk menghadapi Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15 nanti.

“Saya yakin kewibawaan dan ketokohan besar Tan Sri Muhyiddin akan membawa kemenangan besar kepada PN dan terus menjadi kerajaan utuh selepas PRU15,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Muhamad Nazri mengulas tentang sokongan padu yang disuarakan oleh ketua-ketua parti dalam PN terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam pertemuan kelmarin.

Beliau turut melihat sokongan itu sebagai satu pengiktirafan daripada Muafakat Nasional (MN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap kepimpinan dan ketokohan Muhyiddin.

“Pengiktirafan daripada MN dan GPS membuktikan bahawa Muhyiddin layak untuk terus memimpin negara dan berhadapan dengan segala cabaran di masa depan di samping beliau sangat dekat di hati rakyat.

“Pengalaman Muhyiddin sebagai orang lama dalam kepimpinan negeri dan negara menjadikannya individu yang telah lulus ujian untuk menerima tanggungjawab besar menjawat jawatan Perdana Menteri,” ujarnya.

Malah, kata Muhamad Nadzri, kesepakatan semua parti dalam PN untuk mencalonkan Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15 membuktikan segala tohmahan pihak lawan tentang sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu memang tidak berasas. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.