Industri nanas negara terus diperkasa – Ronald

48

3 JULAI: Kerajaan akan terus memperkasakan industri pengeluaran nanas negara dengan menarik lebih ramai usahawan tani muda untuk terlibat dalam kegiatan itu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kementeriannya dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah memainkan peranan dalam melaksanakan program tanaman melibatkan golongan berkenaan.

Menurut beliau, mereka merupakan pemangkin sektor pertanian negara seperti Projek Kluster Nanas Lestari (KNAL) yang dilihat mampu menjana ekonomi dan pendapatan lebih baik kepada para pekebun dan pengusaha.

“Oleh itu, kita ingin melihat anak-anak muda sama ada lepasan sekolah atau lepasan universiti yang berminat dalam bidang pertanian boleh menceburi penanaman nanas ini.

“Kerajaan menyediakan dana di bawah program usahawan agro muda, pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan pinjaman mikro kredit yang dikendalikan oleh Agrobank,” katanya.

Tahun lalu, eksport produk nanas negara meningkat 60 peratus kepada RM491 juta berbanding RM343 juta pada tahun sebelumnya.

Ronald menjelaskan, Malaysia berada di kedudukan ke-19 dunia untuk pengeluar buah nanas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.