Bayaran ujian COVID-19 KKM antara RM30 hingga RM250

5,993

3 JULAI: Mana-mana individu yang ingin menjalani ujian pengesanan COVID-19 di klinik atau hospital kerajaan dikenakan bayaran antara RM30 hingga RM250 mulai 29 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, selaras dengan penguatkuasaan peraturan itu, mana-mana warganegara atau orang asing yang memasuki Malaysia dari luar negara hendaklah membayar fi bagi ujian pengesanan COVID-19 sebelum mendapat pelepasan imigresen di mana-mana pintu masuk negara.

Menurut beliau, tindakan mengenakan fi berkenaan dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019) (COVID-19) 2020.

DR ADHAM BABA

“Bayaran ujian makmal pengesanan penyakit COVID-19 adalah bergantung kepada jenisnya. Sebagai contoh rakyat tempatan akan dikehendaki membayar RM150 untuk ujian tindak balas berantai COVID-19, manakala warga asing RM250.

“Bagi penggunaan kit ujian pantas antigen, rakyat tempatan akan dikenakan bayaran RM60, manakala warga asing RM120; Kit ujian pantas antibodi rakyat tempatan RM30, warga asing RM60,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, ujian pengesanan penyakit COVID-19 di pintu masuk antarabangsa dan fasiliti Kementerian Kesihatan akan menggunakan teknik tindak balas berantai ‘polimerase’ atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

Manakala, ketika ini ujian kit ujian pantas antibodi digunakan ke atas individu yang diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pada hari ke-13, sebelum mereka dilepaskan dari perintah tersebut pada hari ke14.

“Warganegara Malaysia daripada golongan berikut adalah diketepikan daripada bayaran terbabit iaitu pegawai Kkrajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara atas tugasan rasmi di luar negara dan hendaklah mengemukakan surat arahan rasmi sebagai bukti. Pengecualian ini tidak terpakai kepada ahli keluarga pegawai terbabit.

“Pengecualian juga diberikan kepada orang kurang upaya (OKU) yang memasuki Malaysia dari luar negara dan hendaklah mengemukakan kad OKU yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pengecualian tidak terpakai kepada ahli keluarga OKU,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan turut memberi pengecualian kepada pelajar warganegara Malaysia, persendirian atau mempunyai penajaan, yang memasuki Malaysia dari luar negara kali pertama dengan mengemukakan bukti pengajian. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.