80 penyeludup, 39 kapal ditahan sejak 1 Mei

26

3 JULAI: Sebanyak 80 individu disyaki penyeludup dan 39 buah kapal ditahan pihak berkuasa sejak 1 Mei lalu sehingga semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan, seramai 1,215 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 215 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutamanya lorong-lorong tikus.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat 68 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dan memeriksa 42,336 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menahan 9 warga asing di sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, seramai 16 invidu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, di individu telah direman manakala 14 orang lagi dikenakan kompaun.

“Kesemua mereka didapati menjalankan aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk gagal mendaftar serta mengambil suhu badan pelanggan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menyatakan, sebanyak 572 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Qatar, Belanda, Jepun, Korea Selatan dan China.

Kata Ismail Sabri, daripada jumlah itu, seramai 569 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala tiga orang lagi telah dibawa ke hospital.

“Manakala di Johor pula, seramai 195 individu telah memasuki negara melalui Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pelabuhan Pasir Gudang dan Stulang dan telah diperintahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri Sabah tidak pernah berbincang dengan kerajaan Persekutuan berhubung keputusan membenarkan pekerja asing dari China masuk ke negeri itu.

Menurut Ismail Sabri, di peringkat Persekutuan, kerajaan masih menutup pintu negara kepada pekerja warga asing, kecuali ekspatriat kategori EP1 (pengurusan tertinggi) yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“China, sebuah negara yang besar dan masih dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi dan mesyuarat MKN masih berbincang mengenal pasti kawasan-kawasan merah dan hijau di negara itu,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.