WHO lapor 160,000 jangkitan harian sejak minggu lalu

14

2 JULAI: Jangkitan COVID-19 di seluruh dunia berada pada tahap tertinggi ketika ini dengan purata 160,000 kes baharu setiap hari.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes COVID-19 pada 28 Jun menunjukkan angka tertinggi jangkitan harian dengan lebih 189,599 penduduk dunia dilaporkan positif virus itu.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesu berkata, ini bermakna 60 peratus daripada semua kes jangkitan dilaporkan dalam tempoh sebulan lalu saja.

“Setakat ini, lebih 10.7 juta disahkan dijangkiti COVID-19 termasuk lebih 517,000 kematian manakala hampir enam juta disahkan sembuh di seluruh dunia,” katanya pada sidang media secara maya dari Ibu Pejabat WHO.

Di Amerika Syarikat (AS) sahaja sejak 10 Jun lalu, angka kematian harian buat pertama kalinya melepasi 1,000 orang Selasa lalu.

Sementara itu, Greece yang mencatatkan angka korban kurang daripada 200 orang, turut melaporkan mengalami kelembapan ekonomi selepas pelaksanaan perintah berkurung dan sekatan perjalanan bagi mengekang pandemik itu.

Sepanyol dan Portugal pula dilaporkan mengadakan majlis sambutan sempena pembukaan semula pintu sempadan bagi kedua-dua negara itu.

Buat masa ini, Rusia tidak termasuk dalam senarai Kesatuan Eropah (EU) sebagai ‘negara selamat’ untuk dilawati pelancong.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.